Nak kahwin di Johor: siapa boleh sign akuan bujang dan pengesahan tempat tinggal?
Orang yang nak kahwin ni, bila sampai bab chop dan sign, kebanyakannya terus cari ketua kampung. Padahal untuk satu borang, ada tiga pihak yang boleh sign. Untuk satu borang lagi, hanya dua. Ramai tak tahu beza ni, dan ada yang terpaksa pergi dua kali.
Susunan prosesnya, ringkas
Pasangan kena hadir kursus kahwin, isi borang nikah dalam SPPIM, kemudian cetak. Dalam cetakan tu ada borang ujian HIV. Ujian ni ditempah dalam MySejahtera, dan aplikasi tu sendiri akan tunjuk klinik atau hospital mana yang boleh kau pergi.
Lepas tu baru bab pengesahan. Langkah penuh dari mula sampai serahan ada dalam panduan SPPIM Johor. Tulisan ni fokus pada satu bahagian yang paling selalu buat orang keliru.
Akuan bujang, duda atau janda: tiga pihak boleh sign
Akuan status diri boleh disahkan oleh salah satu daripada:
- Ketua Kampung
- Penghulu
- Pesuruhjaya Sumpah (beragama Islam)
Pilih mana satu pun boleh. Tapi kebanyakan orang terus cari ketua kampung. Mungkin sebab dalam borang tertulis "Penghulu/Ketua Kampung/Pesuruhjaya Sumpah" dan mereka sangka itu satu jawatan. Ramai juga tak tahu penghulu dan ketua kampung ni dua orang yang berlainan. Penghulu jaga satu mukim dan ialah kakitangan kerajaan negeri. Ketua kampung jaga satu kampung atau jajaran taman di bawah mukim tu. Bezanya aku dah tulis dalam Peranan Pegawai Daerah, Penghulu dan Ketua Kampung.
Nasihat aku, kalau nak jumpa ketua kampung, cari ketua kampung bagi kawasan tempat kau tinggal. Pergi terus ke penghulu pun boleh. Cuma kadang-kadang, kalau ada yang meragukan, penghulu akan minta kau jumpa ketua kampung kawasan kau dulu. Ketua kampung yang lebih kenal siapa tinggal di situ.
Pengesahan tempat tinggal: hanya penghulu atau ketua kampung
Ada satu borang lagi yang akan keluar sendiri masa cetak, iaitu Pengesahan Tempat Tinggal (pemastautin). SPPIM keluarkan borang ni secara automatik bila ia kesan poskod alamat IC lain daripada poskod tempat kau tinggal sekarang. Contohnya, alamat IC di Taman Gembira, Tampoi, tapi dah dua tahun tinggal di Bandar Seri Alam. Dua-dua dalam Daerah Johor Bahru pun, borang ni tetap keluar.
Borang ni hanya penghulu atau ketua kampung boleh sign dan chop. Pesuruhjaya sumpah tak boleh. Dan ketua kampung yang sign mestilah ketua kampung bagi jajaran tempat kau tinggal sekarang. Ketua kampung di satu mukim takkan sahkan penduduk yang tinggal di mukim lain, sebab dia tak kenal dan tak boleh jamin orang tu memang tinggal di situ.
Di sinilah ramai tersangkut. Ada yang terus ke pesuruhjaya sumpah, bayar, siap akuan bujang. Lepas tu baru perasan ada borang pengesahan tempat tinggal, dan kena cari penghulu atau ketua kampung juga. Akhirnya pergi dua tempat. Padahal kalau dari awal jumpa ketua kampung atau penghulu, kedua-dua borang boleh selesai sekali, dan penghulu atau ketua kampung tak kenakan bayaran.
Sebenarnya, alamat IC tu patut dah ditukar
Ikut peraturan JPN, sesiapa yang pindah dan tinggal di tempat baharu 90 hari atau lebih wajib tukar alamat dalam kad pengenalan. Kalau alamat IC dah betul, borang pengesahan tempat tinggal tak keluar pun.
Macam mana nak cari ketua kampung kau
Boleh tanya di pejabat daerah, cari di Google, atau cari dalam direktori ketua kampung Daerah Johor Bahru di laman ni. Tapi semua cara ni perlukan satu perkara: kau kena tahu kau tinggal di kawasan mana. Cari ikut nama kampung, taman atau bandar.
Ramai yang tak faham susunan alamat sendiri. Bila isi borang, mereka salin bulat-bulat apa yang tertulis dalam IC. Kadang-kadang susunan alamat dalam IC itu sendiri dah tak betul, terutamanya di kawasan kampung.
Sebelum datang
WhatsApp dulu dan tinggalkan pesanan. Jangan harap telefon terus berjawab. Ketua kampung tak duduk menunggu panggilan pemohon, dan kerja dia bukan setakat chop dan sign.
Yang selalu merungut susah nak jumpa ketua kampung, kebanyakannya tinggal di taman dan bandar. Orang kampung biasanya dah faham macam mana ketua kampung mereka bekerja, sebab dah lama kenal. Penduduk taman ramai yang datang dari tempat lain dan tak pernah ada urusan dengan ketua kampung. Jadi bila sekali cuba tak dapat jumpa, cerita tu senang sangat naik viral. Aku harap sebelum tu, beri peluang dulu: pesanan WhatsApp yang jelas biasanya dibalas.
Satu lagi, jangan datang minta chop terlalu awal. Akuan status diri dan pengesahan tempat tinggal sah 3 bulan sahaja. Kalau tarikh nikah lambat lagi, akuan tu boleh tamat tempoh sebelum sempat diserah, dan kau kena datang chop sekali lagi. Tempoh-tempoh lain (bila boleh hantar SPPIM, berapa lama surat kebenaran sah) aku senaraikan dalam soalan lazim panduan SPPIM.
Bila datang, bawa dokumen ikut senarai semak dalam cetakan SPPIM. Jangan bawa sehelai borang sahaja untuk dichop. Bawa juga bil elektrik atau air sebagai bukti tempat tinggal. Ketua kampung biasanya tak minta perjanjian sewa atau geran tanah, jadi bil utiliti selalunya dah cukup.